PETISYEN BANTAHAN SEKATAN PERMOHONAN PERTUKARAN PULANG GURU-GURU SEMENANJUNG YANG BERKHIDMAT DI SARAWAK.

 

 

 

Dr. Haji Azhar Bin Haji Ahmad,

Pengarah,

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,

Jalan Diplomatik Off Jalan Bako,

Petra Jaya, 93050 Kuching,

Sarawak.  

 

 

Tuan,  

 

PETISYEN BANTAHAN SEKATAN PERMOHONAN PERTUKARAN PULANG GURU-GURU SEMENANJUNG YANG BERKHIDMAT DI SARAWAK.

 

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

 

2.         Untuk pengetahuan pihak Tuan, semua guru ingin melaksanakan amanah sebagai guru dengan penuh dedikasi dan komited walau di mana ditempatkan. Namun apabila melebihi tempoh perkhidmatan atau atas alasan-alasan tertentu, ada yang ingin membuat pertukaran antara negeri. Sehingga kini ada guru yang yang bertugas di negeri Sarawak sanggup berkorban berjauhan dengan pasangan dan menguruskan anak sendirian demi menjalankan tanggungjawab sebagai guru. Di tambah pula dengan harga tiket kapal terbang yang mahal terutamanya pada cuti sekolah dan musim perayaan. Begitu juga guru-guru yang ada masalah ibubapa yang sakit dan guru-guru yang ada masalah peribadi yang terpaksa bertahan menunggu permohonan diluluskan. Keadaan ini membuatkan fokus guru terhadap kerja terjejas dan boleh mengganggu perkhidmatan sekiranya isu pertukaran guru tidak diuruskan dengan sebaiknya.

 

3.         Oleh hal yang demikian, kami ingin membawa suara dan hasrat guru-guru semenanjung yang berkhidmat di Sarawak yang telah gagal egtukar agar pihak JPNS menilai semula dasar 90:10 yang dilaksanakan di Sarawak yang dipercayai menjadi punca berlaku kesukaran untuk perpindahan sejak akhir-akhir ini. Dasar ini menetapkan 90 peratus jawatan pendidik di Sarawak akan diisi oleh anak tempatan manakala selebihnya guru dari semenanjung yang berkahwin atau menetap di Sarawak. Mengikut perancangan awal, dasar ini akan dapat dicapai menjelangnya tahun 2018 iaitu selama tiga tahun. Namun, sehingga pertengahan tahun 2018, objektif asal pengenalannya masih belum tercapai sepenuhnya.

 

4.         Pada asasnya, kami menyokong dasar 90:10 dilaksanakan namun, kami berpendapat ia tidak relevan sekiranya ia memberi impak kepada guru-guru yang ingin berpindah semata-mata untuk merealisasikan dasar tersebut. Kesan sejak dasar ini diperkenalkan, penempatan guru baharu dari semenanjung yang dihantar ke Sarawak dihadkan. Oleh itu, guru yang telah lama berkhidmat ditahan dan ditambah pula kurangnya pergerakan masuk guru baharu bagi menggantikan mereka yang telah lama berkhidmat. Ada juga PPD yang menyekat guru untuk berpindah keluar atas alasan kekurangan guru di sekolah dan menyekat guru-guru yang mengajar kelas peperiksaan.

  

5.         Kami ingin mencadangkan agar pihak Tuan mewujudkan sistem giliran yang mana lebih adil dan saksama. Manakala tempoh minimum perkhidmatan guru semenanjung di Sarawak sekurangnya 5 tahun. Sebelum mencapai tempoh 5 tahun, permohonan pertukaran tidak dibenarkan kecuali untuk masalah-masalah khas. Ini bagi memastikan guru-guru yang telah berkhidmat lebih lama diberi peluang terlebih dahulu untuk dihantar pulang berkhidmat ke semenanjung. Oleh itu, kami berpendapat seandainya dasar tersebut ingin diteruskan, tidak perlu ada sekatan penempatan guru-guru baharu dari semenanjung ke Sarawak dan sekatan terhadap guru-guru yang ingin berpindah atas alasan kekurangan guru. Dengan ini guru akan lebih maklum  dengan tempoh perkhidmatan mereka dan tidak timbul rungutan di masa akan datang.

 

 6.         Besarlah harapan kami agar pihak Tuan memandang serius akan isu ini dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini agar kebajikan guru dapat dijaga. Pertimbangan daripada pihak Tuan, kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

 

 

Sekian, terima kasih.

 

  

…………………………